Sep 18, 2020 - FASK. Prabakaran, pemain pertahanan kiri Selangor telah mempamerkan aksi yang baik dalam dua perlawanan CIMB Liga Super 2020 baru-baru ini menentang Sabah dan Melaka United.
Selain menjadi arkitek gol pertama Selangor menentang Sabah di Stadium Likas, Prabakaran juga telah melakukan hantaran lintang yang membantu Sandro meledak gol kebangkitan Selangor menentang Melaka United minggu lalu.
Selain bersyukur, Prabakaran juga mengakui bahawa aksi yang baik daripada dua perlawanan ini telah mendorongnya untuk bekerja lebih keras dan akan terus melakukan yang terbaik dalam perlawanan akan datang.
“Saya berasa gembira dapat memberikan sumbangan dalam dua perlawanan ini. Ia mendorong saya untuk bekerja lebih keras dalam latihan dan melakukan yang lebih baik dalam perlawanan akan datang,” kata Prabakaran.
Persembahannya yang baik dalam dua perlawanan lalu juga mendapat reaksi positif penyokong Selangor yang telah memberikan pujian dan kata-kata semangat di media sosial dan beliau sangat berterima kasih atas komen-komen tersebut.
“Saya teruja dapat membuat penyokong gembira dan sangat berterima kasih atas sokongan mereka walaupun ketika saya di bawah. Saya tidak akan menoleh ke belakang dan mahu terus berikan yang terbaik kepada pasukan dan penyokong,” tambahnya.
Untuk rekod, Prabakaran telah menjadi kesebelasan utama skuad Merah Kuning bagi musim ini untuk saingan CIMB Liga Super. Semoga Prabakaran akan terus konsisten dan memberikan yang terbaik dalam Liga Malaysia sehingga tamat musim ini.